Khasiat Pegaga

Tumbuhan yang tingginya tak sampai pun sejengkal ini tumbuh meliar di atas tanah secara menjalar. Nama saintifik bagi pegaga adalah Centella asiatica/Hydrocotyle asiatica. 

Pegaga hidup subur di tanah yang agak lembab dengan menjalar di sekitar rumput di kawasan-kawasan seperti padang rumput, kebun, ladang, tepi jalan dan sebagainya. Bagi mereka yang tidak mengetahui khasiat tumbuhan ini mencabut atau menghapuskannya dari kawasan persekitaran kerana menganggap ia tumbuhan penyibuk. Ada di antara pekebun yang menghapuskan tumbuhan ini kerana ia akan berkongsi baja yang diberikan kepada tanaman lain.

daun pegaga

Jika mereka tahu akan khasiatnya sudah tentu mereka akan memelihara tumbuhan tersebut dengan membiarkan sebahagiannya hidup subur bersama tanaman yang lain. Antara lain, khasiat pegaga ialah kandungan zatnya seperti vitamin A, vitamin C, protein, zat besi dan gentian.

Segenggam daun pegaga yang diikat bersama akarnya, dijual pada harga RM2. Ia tumbuhan yang ada harga kerana bagi penggemar ulam-ulaman, mereka tahu akan khasiat pegaga dalam diet harian.

Penggunaan daun pegaga berbeza antara kaum di mana kaum Melayu memakannya sebagai ulam dan adakalanya dibuat kerabu yang dicampur dengan kelapa parut. Kaum Cina mengambil sebagai air penyejuk badan manakala kaum India menggunakannya sebagai penawar racun, anti kanser, ubat cirit-birit dan tonik mengubati penyakit kulit dan saraf.

Antara Khasiat Pegaga Yang Diperkatakan Ialah :
- penawar penyakit alahan
- merawat penyakit asthma dan sesak nafas
- merawat jangkitan paru-paru
- merawat kegusaran dan kegigilan
- sebagai ejen anti kanser
- membantu melawaskan air kencing dan membantu merawat buah pinggang
- sebagai penawar batu karang
- sebagai penawar kencing berdarah
- sebagai penawar ulser
- melancarkan peredaran darah
- merawat cirit birit dan gastrik

- membantu menurunkan tekanan darah

Rasa daun pegaga dan tangkainya sedikit pahit dan kebiasaannya diambil bersama makanan lain bagi mengurangkan rasa pahitnya. Mengikut kata orang tua-tua, jika sesuatu jenis ulam itu agak pahit, itu tandanya ulam tersebut amat berkhasiat. Sejauh mana kebenarannya, mungkin agak sukar untuk diterima tetapi orang tua-tua lebih berpengalaman kerana bukankah pengalaman itu yang mendewasakan seseorang. Macam bermadah pula. :)